Ubat ajaib rawat segala penyakit?

Ubat ajaib rawat segala penyakit? />

AKHIR-akhir ini semakin banyak produk kesihatan dijual melalui media sosial. Dakwaan jurujual ubat/produk tersebut memang ajaib. Satu jenis ubat sahaja boleh mengubati sekelip mata berpuluh penyakit. Testimoni demi testimoni dipaparkan agar jualan semakin laris. Kekadang testimoni itu adalah gimik dari para dealer mereka untuk lariskan jualan. Teknik Ini semua orang tahu.

Sebenarnya ramai tertipu dengan keajaiban yang dipaparkan itu. Masyarakat kita tidak suka meneliti sesuatu jenis ubat yang dijual bebas tanpa kawalan itu sama ada ianya selamat digunakan atau sebaliknya. Bukan ambil masa lama pun untuk meneliti setiap ubat yang dipromosikan itu.

Apa yang membimbangkan kita adalah kebanyakan ubat berkenaan mungkin dicampur bahan terlarang seperti steroid, yang akan melegakan dalam tempoh yang singkat. Tetapi berhati-hati, ianya mendatangkan mudarat sehingga boleh membawa maut kerana tiada kawalan dos yang sepadan tubuh kita.

Jika diperhatikan testimoni mereka sebut: "Sakit sendi hilang ibarat dicabut buang", "Ruam kulit hilang sekelip mata", "Penyakit lelah sudah tiada" dan pelbagai lagi ayat-ayat klise yang menakjubkan. Percayalah bahan tersebut telah bercampur dengan steroid sama ada ianya secara sintetik atau semula jadi.

Ramai yang beranggapan segala bahan herba yang dikatakan natural/semula jadi bebas dari bahan terlarang. Sebenarnya hasil tindakbalas campuran bahan semasa ramuan dibuat, ianya boleh menghasilkan bahan sampingan yang boleh mendatang kesan bahaya kepada tubuh kita.
Inilah kesilapan kita yang terlalu percaya kepada perkataan "Semula jadi", "Tanpa bahan kimia", "Bahan Ciptaan Tuhan", sedangkan semua bahan dalam dunia ini terdiri daripada sebatian kimia dan boleh menghasilkan tindak balas kimia tertentu setelah dicampur atau memasuki badan kita.

Lebih menakutkan, terdapat penjual produk yang tidak jujur dalam pembuatan produk mereka. Semasa membuat pengisytiharan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bahan mereka tidak mempunyai bahan terlarang pun, tetapi setelah kelulusan diperolehi, mereka menipu pengguna dengan mencampurkan produk mereka dengan bahan terlarang tanpa mengikut sukatan dos dan akhirnya boleh mendatangkan bahaya.

Bahan terlarang yang selalu digunakan adalah:
1] Dexamethasone (steroid) untuk cepat lega kesakitan dan sengal-sengal badan.
2] Sildenafil (viagra] untuk gagah batin lelaki
3] Merkuri untuk kulit putih dan cantik wanita.

Sebagai panduan membeli ubatan melalui dalam talian atau pasar malam, mari kita belajar untuk mengenali ubat yang boleh digunakan dengan khidmat nasihat doktor.

1] Produk ubat-ubatan di Malaysia perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terlebih dahulu sebelum dipasarkan kepada pengguna termasuklah produk-produk yang dibuat di luar negara. Produk yang berdaftar mempunyai nombor pendaftaran MAL (contoh MAL20125467T) dan label Hologram Meditag pada pembungkusannya. Sekiranya sesuatu produk ubat tidak mempunyai kedua-dua ciri ini, produk tersebut dikhuatiri tidak berdaftar dengan KKM.

2] Semua ubat berdaftar mesti mempamerkan nombor pendaftarannya pada label atau pembungkusannya. Nombor pendaftaran dimulakan dengan huruf ‘MAL’ diikuti dengan 8 digit nombor dan diakhiri dengan huruf-huruf yang menunjukkan kategori pendaftaran produk tersebut iaitu:
A – Ubat mengandungi racun terkawal
X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal /OTC
T – Ubat tradisional
N – Suplemen kesihatan
Anda juga boleh menyemak kesahihan status nombor pendaftaran atau maklumat berkaitan produk tersebut di laman NPRA. Senarai nama produk yang sudah disita atau ditarik balik penjualannya pun terdapat dalam laman web berkenaan. Anda tidak perlu habis lima minit pun untuk membuat semakan.

3] Bagi produk kosmetik pula, sistem yang digunakan adalah melalui kelulusan notifikasi. Contoh nombor notifikasi pada produk kosmetik: NOT_ _ _ _ _ _ _ _ K. Ini kerana Produk Kosmetik di Malaysia adalah di bawah kawalan ‘Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984’, ASEAN Cosmetic Directives (ACD) dan Guideline for Control of Cosmetic Product in Malaysia yang dipantau oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara unit kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah bagi menjamin produk kosmetik yang berada di pasaran adalah berkualiti dan selamat digunakan.

4] Apabila iklan penjualan produk tersebut menyebut boleh menyembuhkan penyakit, sedangkan ubat tersebut bukan dikeluarkan oleh KKM atau setarafnya, maka jangan terus percaya.

Perlu diketahui bahawa terdapat 20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan (Seksyen 3(1) Akta Ubat (Iklan Dan Penjualan) 1956:
1) Penyakit/kerosakan buah pinggang
2) Penyakit/kerosakan jantung
3) Kencing manis
4) Sawan
5) Lumpuh
6) Batuk kering
7) Asma/lelah
8) Kusta
9) Barah
10) Pekak
11) Ketagihan dadah
12) Hernia
13) Penyakit mata
14) Tekanan darah tinggi
15) Sakit mental
16) Kemandulan
17) Frigiditi
18) Lemah fungsi seks/impotent
19) Penyakit venerus
20) Kelemahan urat saraf atau aduan kelemahan lain, timbul daripada atau berhubung dengan perhubungan seks.

Semoga panduan ini berguna kepada anda. - HARAKAHDAILY