5 Sebab Kenapa Buku Dan Bahan Bacaan Bercetak Masih Penting Di Masa Kini

5 Sebab Kenapa Buku Dan Bahan Bacaan Bercetak Masih Penting Di Masa Kini />

Bahan digital semakin hari semakin mendominasi. Banyak pilihan yang ada kalau mahu membaca secara digital. App untuk pembaca antaranya Cool Reader, FBReader, Alreader, Bookari, Aldiko, Google Play, Marvin, EbookDroid dan bermacam lagi. Selain itu boleh juga membaca pada gajet e-reader seperti Kindle atau Nook.

Tetapi ada beberapa sebab bahan bercetak akan tetap bertahan, sehingga teknologi betul-betul dapat mengatasi beberapa keadaan berikut:

1. Ada sesetengah orang tidak dapat menyesuaikan diri membaca secara digital.

Mereka mungkin mengalami masalah kekeringan mata seperti yang dikaji oleh Mark Rosenfield. Sebab masalah ini adalah pancaran cahaya daripada skrin, dan kadar kedipan mata yang akan berkurang apabila membaca daripada LCD.

Oleh sebab mata lebih terdedah kepada udara, mata menjadi kering. Golongan pembaca ini boleh mengatasinya dengan membeli gajet berteknologi e-dakwat seperti Kindle atau Nook yang skrinnya hampir sama dengan ciri kertas.

2. Orang yang lebih berusia mungkin suka membaca di skrin kerana kontras tulisan pada skrin lebih jelas.

Mereka juga boleh membesarkan teks sehingga selesa dengan mata yang makin kabur. Tetapi kepenatan optik akan berlaku apabila teks yang dibaca di skrin terlalu panjang. Ini adalah hasil kajian Paul Harris, seorang penyelidik optometri.

Maka mata perlu direhatkan dengan secukupnya apabila membaca pada skrin. Ini untuk mengelak masalah lebih berat seperti sakit kepala, mata kabur dan masalah sensitif cahaya.

3. Sebenarnya, kepenatan optik adalah masalah biasa yang dihadapi oleh ramai pembaca serius.

Bahan-bahan yang panjang dan teknikal tentu memenatkan apabila hendak dibaca keseluruhan pada skrin. Ramai yang mengambil keputusan untuk mencetak bahan-bahan panjang ini supaya lebih mudah membacanya. Mungkin ini pilihan lain yang bagus jika mahu mengelakkan kepenatan optik.

4. Apabila kajian kognitif tentang membaca dibuat, didapati manusia tidak ada saraf khusus untuk membaca.

Kita dapat membaca kerana gabungan beberapa proses asas seperti proses melihat, proses mengenal objek, proses bertutur, dan proses memori jangka pendek.

Apabila kita membaca secara digital di skrin, proses yang memberitahu kita lokasi tertentu pada bahan bacaan seperti pada bahagian verso atau rekto atau pada ketebalan halaman tertentu tidak dapat berlaku. Ini menyebabkan kita sukar merujuk semula dan mengingat apa yang telah dibaca.

5. Ketika kita membaca secara bercetak, bahan bacaan boleh dipegang dan dirasa dengan deria sentuh.

Hubungan sensorimotor yang biasa kita nikmati ini tidak ada ketika membaca secara digital di skrin, menyebabkan masalah yang dinamakan disonansi haptik. Hubungan sensorimotor sebenarnya juga membantu kita faham dan memproses maklumat dengan lebih baik.

Jadi mungkin ketika kita perlukan kefahaman mendalam dan bahan yang dibaca itu susah hendak difahami, boleh pilih buku berbanding membaca di gajet.

Semoga panduan di atas membantu kita membuat pilihan. Bila waktu yang sesuai untuk membaca secara digital, dan bila pula waktunya untuk membaca bahan bercetak. Sudah tentu setiap perkara ada keadaan yang sesuai untuknya.

Nota: Artikel ini adalah ringkasan dan versi awam kepada artikel penuh yang telah diterbitkan oleh Dewan Kosmik Bil. 9 2017.

Artikel di atas disumbangkan oleh Najibah Abu Bakar. Beliau merupakan seorang pustakawan di salah sebuah universiti awam tanah air dan penulis sambilan.-thevoket.com