Penjagaan kesihatan ketika cuaca panas, kering

Penjagaan kesihatan ketika cuaca panas, kering />

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi situasi sekiranya cuaca semakin bertambah panas dan berterusan.

Demikian dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan, hari ini sebagaimana di bawah.

Menurut kenyataan Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, di Berita Harian bertarikh 21 Oktober 2017, cuaca panas terik melanda ibu kota dan Semenanjung ketika ini, adalah susulan tempias Taufan Lan yang menggegarkan timur Filipina pada Selasa lalu. Menurut beliau lagi suhu dianggarkan melebihi 33 darjah Celsius. Keadaan ini akan berterusan beberapa hari sebelum keadaan cuaca musim peralihan monsun kembali semula. Dijangka ia menyebabkan keadaan berawan dan hujan pada lewat petang.

Bagaimanapun berdasarkan definisi Jabatan Meteorologi Malaysia, suhu normal maksimum harian ialah antara 28.6 dan 35 darjah Celsius. Ketika ini, suhu maksimum di Semenanjung Malaysia tidak mencapai 35 darjah Celsius.

Namun begitu, orang awam perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan kejadian dehidrasi, lebih-lebih lagi jika mereka terlibat dengan aktiviti sukan dalam suasana yang panas. Orang awam juga dinasihatkan agar berjaga-jaga dengan tanda-tanda strok haba seperti sakit kepala, lidah bengkak, tidak berpeluh, lesu, hilang fokus dan pengsan, sekiranya cuaca panas berterusan. Sekiranya keadaan ini berlaku, orang awam hendaklah segera mendapatkan rawatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi situasi sekiranya cuaca semakin bertambah panas dan berterusan. Nasihat kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi situasi ini boleh diperolehi dari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga akan sentiasa memantau situasi cuaca di Malaysia melalui laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia melalui https://www.met.gov.my.