Apabila iman menipis di dada, maka perintah Allah SWT dan Sunnah Rasulullah SAW akan terasa seperti suatu bebanan untuk diamalkan. Justeru, adab-adab
makan dan minum Nabi SAW yang dimuatkan di dalam buku ini bukanlah
bermaksud untuk menyusahkan umat Islam untuk mengamalkannya. Ia sekadar
bermaksud meraih cinta Allah dan Rasul-Nya dan mendapat kebaikan yang
maksimum jika ia dapat diamalkan keseluruhannya. Jika tidak mampu
mengamalkan kesemuanya, cukuplah sekadar kita berazam untuk melengkapkan amalan sunnah Nabi SAW ini dengan mengamalkan sedikit demi sedikit.
Biarlah ada peningkatan (value add) di dalam kehidupan kita dalam bab
sunnah Nabi SAW ini sebelum kita menutup mata iaitu meninggalkan dunia
yang fana ini. Jadilah seperti sikap Abu Bakar as-Siddiq r.hu yang
bertanya kepada anaknya Aisyah r.ha selepas kewafatan Baginda SAW
tentang sunnah-sunnah Nabi yang masih belum beliau amalkan kerana
mungkin tidak ketahuan olehnya sebelum Baginda SAW wafat.
Kita tidak seharusnya berpuas hati dengan amalan sunnah yang sedikit sahaja. Benar, kita ini terlalu jauh dari zaman Baginda SAW, namun bukanlah
menjadi alasan untuk meninggalkan sunnah-sunnahnya. Cubalah berazam
sedaya yang mampu dan jangan berputus asa. Buangkan sifat malu yang
tidak bertempat dalam mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW kerana setiap
sunnah yang diamalkan kerana Allah, sudah pasti ada kejayaannya.
Janganlah bersikap ala kadar dalam mengikuti sunnah ini kerana dalam bab
keduniaan, kita sentiasa inginkan peningkatan atau upgrade agar di lihat up to date. Contohnya, kita sentiasa ingin mendapatkan gadget keluaran
yang terbaru di pasaran, tetapi di dalam pengamalan sunnah,
kadang-kadang kita bersikap “cukuplah sekadar apa yang sudah diamalkan
selama ini, lebih baik dari tidak beramal langsung!” Lagi banyak sunnah
yang diamalkan, lagi tinggi tanda cinta kasih kita kepada Kekasih Allah, Nabi Muhammad SAW.
Para pembaca yang budiman. Sekarang adalah masanya untuk beramal! Bukan lagi masa untuk berdebat siapa betul siapa yang salah! Lebih malang lagi
apabila kitalah punca penghalang kepada orang lain untuk mengamalkan
sunnah Rasul SAW ini. Dengan kata-kata cemuhan kita sahaja sudah cukup
ampuh membuatkan orang lain yang sudah mengamalkan sunnah Nabi SAW
(namun iman masih belum menebal) akan meninggalkan sunnahnya setelah
mendengar saranan (penjelasan berdasarkan nafsu) kita terhadap sunnah
yang diamalkan mereka sebelum ini. Kononnya kita sahajalah yang betul.
Orang lain tidak betul, salah belaka! Bukannya kata-kata galakan atau
pembaikan yang ingin diberikan, bahkan kata-kata penghinaan yang
disuapkan. Betapa besarnya dosa tersebut! Maka, bertaubatlah.
Sedihnya kita hari ini, ramai yang sudah berilmu tinggi namun masih belum tentu
tinggi amalannya berdasarkan ilmu yang diperolehi. Jadilah insan yang
berilmu dan beramal dengan ilmunya walaupun sedikit, bukan sekadar
berilmu tetapi menyimpan ilmu tersebut tanpa diamalkan! Berilmu tidak
beramal umpama pohon tanpa buahnya.