Sejak kecil lagi aku
sudah mula melukis. Aku membesar dengan kartun, anime, manga, dan
bermacam-macam jenis lagi seni hiburan yang membuatkan aku terus melukis sehingga sekarang.
Entah sudah berapa ribu helai kertas yang aku gunakan, berapa ribu jam aku habiskan, dan berapa ribu ringgit aku
laburkan dalam bidang lukisan. Begitu banyak pengorbanan yang telah aku
lakukan, semata-mata untuk terus melukis, dan melukis, dan melukis…
Sampai satu ketika, aku berhenti.
Penat.
Dan merenung kembali segala usahaku selama ini, terasa rugi. Tersangatlah rugi sekali….
Andai keuntungan dan pulangannya terhenti sekadar di sini.
Alangkah malang dan ruginya aku, jika tiada sedikit pun lukisanku selama ini
yang dapat aku gunakan untuk meraih keuntungan di akhirat nanti. Lebih
malang jika lukisanku bukan sahaja menjauhkan diriku sendiri, bahkan
diri orang lain daripada Allah.
Nanti kelak di hadapan-Nya,
apakah yang akan kujawab apabila ditanya ke manakah menghilangnya usia
mudaku yang tenggelam dan lalai dalam komik, manga, anime dan drama.
Apakah yang telah aku lakukan untuk menebusnya kembali?
Serta-merta kepenatan tadi hilang, dan mata penaku kembali terhunus. Aku mula
membetulkan niatku, dan kembali melukis realiti. Lukisan-lukisanku kini
refleksi kehidupan, yang akan aku abadikan dalam perjuangan. Ia bukan
lagi sekadar dakwat di atas kertas, tetapi cerminan dakwah dan tarbiah.
Lukisan Tarbiah 2 ini, REFLEKSI untuk diriku dan dirimu. Bacalah ia dengan mata hatimu!