Dunia hari ini menghadapi pelbagai masalah yang belum dapat
diselesaikan dengan berkesan. Semakin banyak teori yang dikemukakan
untuk menyelesaikan masalah, semakin bertambah pula masalah baru. Di
mana-mana sahaja kehidupan manusia terancam yang berpunca daripada
tangan manusia sendiri. Sistem ciptaan manusia yang mencakupi politik,
ekonomi, sosial, undang-undang dan sebagainya GAGAL menyelesaikan
masalah manusia dengan berkesan. Keruntuhan akhlak dan gejala sosial
berlaku dengan parah.
Penindasan, kemelaratan dan kemiskinan tidak pernah selesai.
Permusuhan, perpecahan dan pertumpahan darah tidak putus-putus berlaku.
Semuanya itu adalah gambaran kegagalan sistem ciptaan manusia.
Ramai generasi muda Barat yang kecewa dengan kegagalan tersebut
menolak ajaran Kristian dan mereka mencipta falsafah hidup baru yang
berasaskan kebendaan. Penyelesaian yang mereka cuba itu menemui
kegagalan kerana mereka mengubah fitrah manusia. Orang Islam yang
terpengaruh dengan penyelesaian Barat itu menjadi lebih teruk daripada
mereka. Orang Islam itu bukan sahaja gagal mencapai hakikat kebendaan
yang mereka buru, tetapi juga hilang jati diri.
Maka, penyelesaian secara fitri merupakan kaedah penyelesaian yang
berkesan kerana serasi dengan fitrah semula jadi manusia. Buku
“Kurikulum Dari Langit” ini cuba membawa anda menyemak sistem fitrah
yang sempurna.